Jumaat, 5 Disember 2008

Bagaimana mahu menuntut perubahan?


Gesaan Ketua umum, Dato Seri Anwar Ibrahim berkenaan tuntutan perjuangan perubahan di Kongres ke-5 keADILan baru-baru ini agak menarik untuk dibicarakan.


Terbaru dalam mengulas isu pemecatan Zaid Ibrahim dari UMNO, Anwar nampak mengulangi gesaannya. "Berani menuntut Perubahan" merupakan tajuk artikel terbaru Anwar yang tersiar dihalaman Blognya.

Menyebut perkataan berubah amatlah mudah, manakala telinga juga senang mendengarnya, apatah lagi sekiranya lingkungan persekitaran kehidupan kita diselubungi kesempitan dan tekanan. Maka keupayaan hati untuk menerima gesaan kearah melakukan perubahan teramatlah mudah untuk dihadam.



Tetapi kita sering gagal memahami tuntutan perubahan walaupun sememangnya itulah yang kita mahukan. Kegagalan ini disebabkan kegopohan kita mengejar suatu pembaharuan tanpa kita mengkaji corak strategi sekaligus membentuk suatu langkah awal dalam menjana perubahan tersebut .Oleh yang demikian, seringkali sahaja pembaharuan itu gagal, bahkan ianya menjadi lebih buruk dari yang sebelumnya.


Persoalannya, sememangnya pembaharuan itu maunya apa? justeru jika mahu dituntut, mana jalannya?


Pertama kali wajib difahami bahawa pembaharuan merupakan suatu gesaan yang harus berjalan terus- menerus.Tidak boleh ada masa istirehat, dimana satu pembaharuan sempat mencapai tingkat matangnya tanpa suatu perubahan lain muncul membandingi dan menganggap perubahan itu suatu kepuasan.

Tidak boleh ada masa tenang,dimana suatu perubahan sempat mendominasi fikiran banyak orang dengan aman dan tenteram tanpa gangguan -ganguan "keamanan" dari perubahan yang lain.

aku rasa "gangguan" semacam itu ada kerana tentu terdapatnya kelemahan dalam pembaharuan yang mendominasi itu tadi. Jadi yang penting dalam proses perubahan itu adalah suatu pergolakkan, suatu gejolak yang terus menerus, suatu kegelisahan yang abadi,dan pastinya bukan aman,tenang dan lengang.

Kerana itulah suatu gerakkan perubahan adalah suatu gerakkan yang selalu dalam keadaan gelisah, tidak puas, senantiasa mencari dan bertanya tentang yang lebih benar dari yang sudah benar, yang lebih baik dari yang baik.

Dengan demikian proses perubahan ini merupakan proses yang tidak akan selesai.Kita seharusnya meninjau kembali terhadap perubahan-perubahan yang sudah ada, kerana ia suatu keharusan.

Justeru itu, kiranya suatu gerakkan pembaharuan relatifnya sudah terhenti dari bertanya, sudah puas dengan ilham yang ada, tidak mengadakan kritik-kritik terhadap idea ataupun ilham didalamnya, sudah berhenti dari rasa gundah dan gelisah, sudah tidak ada lagi gejolak dan pergolakkan idea didalamnya, tidak ada ilham-ilham yang baru didalamnya.

Pada saat itulah organisasi perubahan itu dikatakan sudah berhenti menjadi menjadi organisasi pembaharu. Suatu kejutan diperlukan untuk membangkitkannya lagi atau kalau tidak, harus lahir satu gerakkan perubahan yang baru!.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan