Khamis, 31 Julai 2008

Azizah pulangkan pada ANWAR...

Maka terjawablah segala persoalan yang selama ini menjadi debaran rakyat Malaysia. Pengumuman Dato Seri Wan Azizah sebentar tadi berkenaan keputusannya melepaskan kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang mana menjadi miliknya selama 3 penggal bagi memberi laluan kepada suaminya Dato Seri Anwar Ibrahim bertanding, menepati ramalanku selama ini.

Keputusan ini ibarat menyerahkan kembali takhta yang dipinjam kepada pemiliknya. Aku berasa cukup lega dengan keputusan ini, kerana selain daripada kawasan ini selamat buat Anwar ianya juga merupakan kawasan nostalgic. Sebuah kawasan Parlimen yang menjadi pencetus kebangkitan rakyat hingga terkenal seantero dunia!

Disaat keADILan serta seluruh rakan pimpinan Pas dan DAP dilanda gelombang haru-biru pada PRU11, kerusi inilah yang menjadi benteng terakhir buat pejuang keADILan.

Yang menjadi persoalan sekarang, adakah Anwar mampu bertanding? Melihat keadaan sang penguasa yang semakin tertekan, pastinya akan ada suatu halangan buat Anwar merealisasikan impiannya.Mungkinkah Anwar Ibrahim DITAHAN???

Selasa, 29 Julai 2008

Hj.Mahfuz: antara politikus dan pejuang

Beliau merupakan tokoh pertama PAS yang aku minat, melihat dari cara pidato serta ketrampilan yang bersahaja membuat aku mahu mendekati lantas mengenali perjuangan beliau secara dekat. Jujur aku katakan,cara beliau yang sederhana inilah menjadi antara faktor utama anak muda mula menyertai perjuangan PAS.

Ketokohan serta keberaniannya dalam memperjuangkan sesuatu hak ditambah dengan kepetahannya berhujah dalam menangani isu membuatkan beliau antara tokoh yang sukar dicari ganti. Hj. Mahfuz telah meninggalkan bayangan yang agak payah ditembusi oleh mana-mana pemimpin pemuda PAS.

Tersentuh bercampur kagum bilamana membaca surat terbuka beliau yang tersiar dilaman web Malaysia Kini kelmarin. Jelas Hj Mahfuz seorang pemimpin berani dan bertanggungjawab, kenyataannya diperenggan terakhir membuatkan hati kecilku tersentuh."saya rela dihukum atas kesalahan yang tidak disengajakan ini".

Itulah ungkapan yang tidak akan diucap oleh pemimpin politik,dalam hal ini Hj.Mahfuz tidak layak digelar "politikus" tetapi "PEJUANG". Semoga beliau terus tabah dalam mengharungi perjuangan yang tidak berkesudahan ini.

takbir!

Ahad, 27 Julai 2008

UMNO sedia masuk PAS????

"Kelam-kelibut" jadinya bilamana timbulnya perkataan "muzakarah" diantara PAS dan UMNO. Keadaan ini bertambah gawat dengan ugutan Dewan Pemuda Pas Pusat yang ingin membuat demo bantahan dihadapan pejabat agung parti islam tersebut, bagi mempertahankan Mursyidul Am nya yang menolak rundingan tersebut.

UMNO sebuah parti yang terkenal sejak dari "Dulu Kini dan Selamanya" mempunyai helah dalam mencatur strategi untuk mempertahankan kekuasaannya, mereka mula mengatur langkah dengan menggambarkan mereka amat mementingkan "penyatuan bangsa Melayu"(kononnya).

Terbaru saranan dari Tuan Guru Nik Aziz bahawa adalah molek apakiranya kedua-dua parti ini dibubarkan seterusnya ditubuhkan sebuah parti baru yang berteraskan ISLAM. Saranan ini baik,namun aku merasakan tidak perlu sampai membubarkan kedu-duanya,sebaliknya UMNO yang terkenal dengan labelnya sebagai sebuah "parti cari makan" DIBUBARKAN.

Maka semua ahli UMNO menyertai PAS yang sudah sekian lama berjuang mempertahankan "KETUANAN ISLAM". Namun mampukah para pimpinan UMNO menerimanya? setelah sekian lama menjarah dan memunggah khazanah negara untuk anak pinaknya, pasti sukar untuk meninggalkan tabiat hodoh itu.

Tentunya para kroni yang bergantung pada UMNO tidak akan sekali merestui penyatuan ini. Taukey-taukey besar yang selama ini menjadikan UMNO barua untuk menjaga segala kepentingannya dibumi Malaysia,akan senak perut sekiranya perkara ini menjadi kenyataan.

Melihat keadaan UMNO yang tidak punya jatidiri, aku berani JAMIN!! mereka akan menolak mentah-mentah cadangan ini. Bagi aku kesemua hal yang terjadi hari ini merupakan "satu lagi helah UMNO" untuk mengalih pandangan perwakilan UMNO dari bercakap tentang kelemahan PRESIDENnya yang terkenal "lembik"

Almaklumlah bahtera yang dilayari UMNO selama 62 tahun sudah mula usang, ditambah dengan Nakhoda yang sering terlena dalam pelayaran telah mengakibatkan bahtera hilang arah tuju. maka para kelasi mula menunjuk jaguh, kononnya mampu menyelamatkan bahtera yang semakin mereput.

Semenjak dihempas badai tsunami 8 mac lalu, bahtera usang UMNO mula tertiris. KINI menunggu masa yang sesuai untuk "KARAM"...

Khamis, 24 Julai 2008

Bekas MB Selangor: dari penyapu kepada penyelamat bangsa???


Rasa nak tergelakpun ada, nak termuntah jangan cakap la, perasaan ganjil ini terjadi bila aku terbaca satu artikel disebuah blog, yang bagi aku blog ini layak digelar "cetusan rasa geli" nukilan dari seorang bergelar mantan Menteri Besar Selangor.

Blog ini bagi aku langsung tidak mencabar minda pada sipelayarnya, yang pasti sipelayar akan berasa jiwa kacau tatkala menatap isi kandungannya. Artikelnya jelas dari seorang yang kecewa, dan adakala seperti orang baru berceraipun ya juga.

Terbaru satu Artikel paling lawak dalam dunia,dinukilkan oleh sipunya blog. Masakan tidak, sipunya blog ini telah banyak menyusahkan orang melayu diSelangor. Kerosakkan yang dilakukan oleh sipenyapu (gelaran manja sipunya blog) bukan sahaja pada orang melayu, bahkan meliputi semua bangsa yang bermastautin di bumi bergelar Selangor ini.

Masih segar dalam ingatan aku bilamana menyaksikan rumah yang menjadi tempat berteduhnya bangsa melayu, dirobohkan atas alasan pembangunan. Surau juga tidak terlepas menjadi mangsa sipenyapu ini,semuanya rebah menyembah bumi. Kemudian diatas tapak itu dinaikkan sebuah kondominium mewah yang hanya mampu dilihat oleh mangsa perobohan dengan linangan air mata.

Hingga kini masih ramai penduduk yang kebanyakkannya terdiri dari orang melayu berteduh didalam khemah hasil dasar gila sipenyapu ini. Dasar yang digelar "setinggan sifar" itulah yang telah membuatkan kebanyakkan tokoh dalam parti sipenyapu ini kaya raya.

Di Klang umpamanya,disaat rakyat menangis melihat rumah atau kampung yang didiami berpuluh tahun menyembah bumi- seorang wakil rakyat parti sipenyapu ini dengan bangga membina mahligai.

Itu baru sedikit, kalau nak disebut satu-persatu tindakkan sipenyapu yang jelas menindas bangsa "MELAYU", maunya setebal entah berapa ribu muka surat bila dicetak. Namun itu semua telah menjadi sejarah pahit yang telah berlalu buat rakyat Selangor. Siraja penyapu yang angkuh kini bergelar ketua pembangkang di Selangor,dan sifatnya yang sombong telah bertukar mutakhir ini.

Dengan bangganya sipenyapu mendabik dada mengaku menjadi orang tengah dalam siri pertemuan sulit antara Pas dan Umno baru ini. Sipenyapu diberitakan begitu tawadhu dalam pertemuan itu, malah sampai 3 kali! menuang air kecawan pimpinan Pas. Ini dibuktikan lagi bilamana sanggup menghadiahkan kerusi emasnya pada Pas demi untuk menyelamatkan melayu.

Cuba kita bayangkan, seorang yang telah meyebabkan puluhan ribu orang melayu kehilangan tempat tinggal demi mencapai hasratnya mengumpul kekayaan- boleh bertukar serta merta menjadi "pembela bangsa MELAYU".kok aneh...

Pada aku manusia seperti ini elok direndam dalam kolam je, penyatuan bangsa konon. oii. cerminlah muka awak dulu sebelum sebut soal penyatuan bangsa.

Akhir kalam, nasihat aku pada sipenyapu- adalah molek dia pulang kekampung dan berbakti selaku Doktor gigi.Manakala isterinya boleh membuat jualan langsung rumah kerumah dengan produknya TEMPE.Rasanya ramai orang jawa sungai panjang ingin tahu, bagaimana hanya dengan memakan tempe boleh membuatkan wajah berubah menjadi tegang dan licin.

Isnin, 21 Julai 2008

"MUZAKARAH": UMNO ketawa,PAS pedih.






Ibarat beruk mendapat keris, UMNO seperti dijangka mula menikam Pas. Inilah habuan untuk Pas setelah "bermuzakarah", walaupun sudah punya pengalaman namun masih terkena.


Pilihanraya umum ke-12 yang lalu hampir sama dengan peristiwa 1968, yang menyaksikan perkahwinan UMNO-PAS. Jodoh mereka tak lama, perkahwinan tersebut hanya mampu bertahan setahun sahaja. Pas tertendang keluar setelah UMNO mempunyai isteri politik baru. Semenjak disepak keluar dari "mahligai" oleh UMNO, Pas terus menjanda tanpa dipedulikan oleh UMNO yang gah berkuasa.


Pas sudah diingatkan berulang kali oleh rakan-rakan seperjuangan, malah Pas sendiri sedia maklum akan sejarahnya sewaktu sekatil dengan UMNO dahulu. Kini ianya "terjadi", pengumuman pertemuan sulit antara pimpinan UMNO dan PAS oleh Badawi menepati ramalan.


Kini UMNO girang meraikan kejayaannya menikam "Bulan", Pas seolah tercungap menahan kepedihan. Luka ini lebih pedih dirasai rakan seperjuangan yang sentiasa setia bersama Pas. PKR,DAP,HINDRAF dan semua badan NGO yang berhempas-pulas bertarung menumbangkan UMNO-BN bertambah luka bilamana pertemuan sulit tersebut berlangsung sebanyak 3kali!!


Ditambah dengan keadaan ANWAR yang ditimpa fitnah dahsyat dan memerlukan sokongan padu daripada rakan-rakannya,tetapi...


Kenyataan dangkal ahli Parlimen Shah alam yang terlibat dalam pertemuan sulit itu amatlah mengecewakan. Mana mungkin pertemuan tersebut disamakan dengan pertemuan antara ANWAR dan SAPP? ANWAR mengadakan pertemuan tersebut dengan misinya menumbangkan kerajaan korup UMNO-BN, Walhasil ANWAR berdepan dengan kemungkinan dipenjara semula!


Apa makna pertemuan sulit Pas-UMNO? Melihat senario ini terkenang doa Tok Guru Nik Aziz di stadium awal pilihanraya umum ke 12....



Jumaat, 18 Julai 2008

PAS & UMNO:tangan bersalam kaki menendang...

Maka bertebaranlah juak-juak UMNO melagukan percantuman melalui apa yang disebut "muzakarah" antara PAS dan UMNO.

Hal ini akan ditimbulkan bilamana UMNO mula berada dalam keadaan tersepit, contoh dalam 3 pilihanraya umum yang menyaksikan naik turun kemenangan PAS.Pada 99 pas berjaya merampas Terengganu dari tangan UMNO maka diajak PAS bermuzakarah kononnya untuk kepentingan MELAYU. Muzakarah diajak dalam keadaan Pas ditekan diTerengganu bilamana hak rakyatnya dalam bentuk royalti dirampas dengan digantikan wang ihsan.

Muzakarah tidak langsung disebut oleh puak UMNO ditahun 2003, Gelombang haru biru UMNO-BN serta dengan melambakkan hantu siang maka UMNO merampas terengganu dari tangan PAS. Pada waktu itu tidak berbunyipun perkataan "Muzakarrah" dari perawi-perawi UMNO.

UMNO pada waktu itu seronok menjarah dan memunggah kekayaan negara tanpa memikirkan masalah melayu. Malah keputusan mengkhinzir butanya sering menyebabkan bukan sahaja melayu malah cina dan india berasa tertekan. UMNO berasa hebat dengan mandat besar hasil persempadanan semula yang menghakis kuasa undi orang melayu. Maka diciptanya fahaman baru HADHARI.

Pas menegur atas prinsip akidah islam,bahawa fahaman itu jelas menyimpang dari ajaran islam. Malangnya UMNO tidak endah malah mendabik dada mengatakan ajaran mereka lebih tepat dek kerana dipuji Mr.Bush.

Sekarang! bila mana rakyat sudah mula sedar dan menolak mereka,maka perkataan "Muzakarrah" terpacul dari pimpinan UMNO. Adakah Pas begitu bodoh untuk bersama dengan UMNO yang sering mempunyai helah demi kepentingan kekuasaan mereka? Pas harus ingat bahawa UMNO sering menghulur tangan namun kakinya menendang!

Itulah UMNO yang penuh dengan tipu muslihat, Pas sudah dihenyak beberapakali namun UMNO masih tebal muka menghulur tangan yang penuh kekotoran untuk disambut Pas. Dalam soal ini Tok Guru Nik Aziz punya pengalaman, Pas sudah ditipu DULU, KINI Pas sudah masak dengan kerenah dan taktik kotor UMNO. Maka Pas tidak akan sekali-kali membiarkan dirinya ditipu SELAMANYA...

Takbir!!!

Khamis, 17 Julai 2008

HADIAH buat Anwar setelah membela nasib rakyat

Disaat rakyat mengetahui kebenaran tentang keadaan ekonomi Malaysia yang sebenar, Anwar menerima habuan dari kejayaannya mendedahkan kenyataan tersebut dalam perdebatan hangatnya.

Umum sedia maklum tentang perihal siapa yang lebih menyakinkan dalam membentangkan hujah dipentas pidato,sebab itu ada beberapa media yang membuat tinjauan umum berkenaan siapa pilihan rakyat untuk menjadi juara- Anwar terpilih dengan undian sebanyak 96 peratus. Namun dek kerana berjaya mendedahkan serta mempertahankan nasib rakyat dalam setiap hujahnya, Anwar diseret ke balai polis dengan cara hampir sama seperti peristiwa gelita 98.

Inilah nasib Anwar yang sering degil membela nasib rakyat walaupun nyawanya pernah hampir melayang. Beliau tidak pernah serik dengan tekanan serta ancaman yang dihadapkan keatasnya, bagi dirinya "kalau takut dengan risiko, jangan bicara soal perjuangan".kata-kata ini juga menjadi pegangan seluruh pejuang perubahan yang bangkit berjuang bersamanya.

Ibarat lilin yang membakar diri,Anwar merupakan satu-satunya bekas pemimpin negara yang paling banyak rekod ditahan dan punya rekod besar bilamana dipukul sewaktu dalam tahanan dalam keadaan dirinya punya status bekas timbalan perdana menteri Malaysia.

Semalam sewaktu sabhery memikirkan akan pekerjaan baru kerana tewas dalam perdebatan, Anwar terpaksa tidur dalam tahanan. perkara ini masih dilaluinya walau usia sudah menjangkau ke 60 tahun dan punya seorang cucu! Anwar dibebaskan pagi tadi dan akan dipanggil semula pada 18 oktober depan bagi tujuan penyiasatan kes liwat yang di kenakan keatasnya.

persoalan sekarang, apakah setelah melalui segala keperitan dalam hidupnya,setelah berhempas-pulas mempertahankan hak rakyat,setelah disumbat dan diterajang, setelah difitnah dan diaibkan, Anwar Bin Ibrahim tidak layak diangkat untuk memimpin negara yang kian parah ini?

renungkanlah...

Rabu, 16 Julai 2008

DEBAT: Anwar harapan baru untuk Malaysia

Semalam berlansung satu lagi peristiwa ulangan, peristiwa pertama berlaku dipertengahan 70an dimana debat antara Anwar dan Datuk Suhaimi Kamarudin ketua pemuda UMNO.

Ianya berlaku diera kepimpinan Tun Razak dan isunya berkaitan kemiskinan dan kebuluran , Anwar pada waktu itu hanyalah merupakan Presiden ABIM manakala lawannya merupakan Ketua Pemuda UMNO dan anak didik pada tokoh melayu Datuk Harun Idris. Dalam perdebatan terbuka itu Anwar menyerlah dengan hujah yang bernas serta punya asas kukuh seterusnya melemaskan Datuk Suhaimi yang digambarkan sebagai antara pemidato terhebat dikalangan pemuda UMNO.

Semalam sekali lagi Anwar mempertahankan rekod cemerlangnya,dengan gaya bersahaja beliau memfokuskan kepada permasalahan rakyat dan realitinya keadaan ekonomi Malaysia yang semakin parah. Kali ini Anwar ditentang oleh Datuk Sabhery yang merupakan Menteri Penerangan. Hujah Anwar gagal dipatahkan menyebabkan Sabhery cuba menyerang peribadi Anwar bagi menyelamatkan reputasinya. Anwar yang mendapat tepukkan gemuruh dari kalangan penonton yang terbahagi pada dua kumpulan yakni UMNO-BN dan PAKATAN RAKYAT. Malah Anwar mendapat sorakkan gemuruh dewan pabila menghuraikan bagaimana "minyak boleh diturunkan" oleh kalangan penyokong UMNO-BN sendiri.

Anwar mengelak menyerang peribadi Sabhery,kerana plartform pidato hanya berkisar kepada Minyak" dan bukannya antara Anwar lawan Sabhery. Hujah dipihak Sabhery cukup dangkal bilamana dibangkitkan soal keadaan ekonomi serta permasalahan rakyat,Sabhery cuba menyelamatkan diri dengan berterusan menyerang peribadi Anwar yang tiada dalam tajuk perdebatan.

Anwar menjawab dengan bersahaja soalan yang dikemukakan oleh Nordin Kardi menambahkan luka pada pihak UMNO-BN.

Melihat kepada keputusan debat malam tadi, Anwar menang bergaya walaupun berdepan dengan isu yang melibatkan peribadinya.perdebatan malam tadi juga mengheret moderator menanya soalan dangkal dimana tak perlu Anwar jadi PM cukup sekadar menyerah dan berkongsi formula dengan kerajaan korup UMNO-BN.jelas pada rakyat yang menonton malam tadi bahawa Anwar merupakan harapan baru untuk Malaysia! Seterusnya apa kata media Malaysia? kita tunggu babak seterusnya...

Jumaat, 11 Julai 2008

PERALIHAN KUASA? Dr. M kata....



Seperti biasa dalam UMNO dibawah pemerintahan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila arahan diberi melarang parti daripada sesuatu tindakan, Presiden anggap dirinya tidak tertakluk kepada arahan ini.
Berkempen untuk pemilihan dalam mesyuarat agong tidak dibenarkan, tetapi Presiden membawa semua pemimpin daripada Bahagian untuk diarah supaya tidak mencabar sesiapa selain daripada dirinya sebagai Presiden.Gula-gula diberikan kepada Dato Seri Najib bahawa dianya juga dikehendaki bebas daripada cabaran untuk Timbalan Presiden.
Ini dituju kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ingin bertanding Timbalan Presiden. Jika Muhyiddin bertanding juga maka ini bermakna dia tidak setia kepada parti, pengkhianat, kerana tidak hormat arahan demokratik oleh Presiden.
Najib akan dijanji peralihan kuasa akan dibuat pada 2010. Sebelum sampai tarikh keramat ini tuduhan akan dilempar terhadapnya supaya dia ternampak tidak lagi layak untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.Seorang yang dianggap lebih setia kepada Dato Seri Abdullah akan menggantinya. Pengganti tidak akan ambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2010 kerana kurang pengalaman.
Dato Seri Abdullah akan bermurah hati untuk mengisi jawatan itu hingga Pilihanraya Umum ke-13.Jika trend pemikiran rakyat berterusan Barisan Nasional akan kalah dalam Pilihanraya Umum ini dan Dato Seri Abdullah tidak akan jadi Perdana Menteri. Oleh itu tidak adalah jawatan yang hendak dialih kepada pengganti Dato Seri Najib.
Pengasas-pengasas UMNO daripada kubur mereka akan kutuk orang yang telah musnahkan parti yang mereka bentuk dan wujud guna untuk menebus maruah orang Melayu dan negara Malaysia.
Parti yang mereka tubuh sudah di hi-jack oleh Dato Seri Abdullah untuk kepentingan diri dan keluarga sehingga hancur parti dibuatnya.
Tun,DR.Mahathir
(che det.com)

Selasa, 8 Julai 2008

Protes,Geramm: dari jalanan kepentas Stadium!



Saya rasa terpanggil untuk mengulas isu ini setelah melawati dan membaca tulisan rakan seperjuangan iaitu anakmudaparlimenbatu.

insiden yang berlaku hujung minggu lalu, bagi saya tercetus kerana ianya merupakan kejutan budaya. kalau kita singkap sejarah 10 tahun lalu, hanya stadium di Kelantan menjadi platformperhimpunan aman. itupun kerana Negeri kelantan dipimpin oleh sahabat kita yakni PAS. Yang lain terpaksa kita harung dijalanraya, bertempur dengan FRU sering menjadi acara kemuncak.

Setelah melewati tempoh gelita, sinar mula terbentuk. Gagasan yang dipanggil PAKATAN RAKYAT mula mengorak langkah ke 5 negeri termasuk Satu Wilayah. Akibatnya sekarang kita sudah punya stadium dan beberapa kemudahan yang sering kita impikan. Berikutan lonjakkan kebangkitan rakyat mahu dijelmakan dalam bentuk karnival merupakan satu kejutan, perasaan berasa janggal tatkala berada dalam stadium serta berasa canggung untuk melaungkan kalimah protes bagi melahirkan perasaan geram.

Mungkin kita perlu masa untuk menyesuaikan diri dalam situasi baru ini. Soal pentas yang sepatutnya mrnjadi platform laungan protes diselang selikan dengan nyanyian, menyebabkan acara bertambah tempang. situasi ini sama dengan konsep jom heboh anjuran tv3 suku, para pejuang dan aktivis mungkin tidak bersedia dengan perubahan mendadak tersebut.

Lebih manis kiranya pentas tersebut diselitkan hanya acara berbentuk puisi bertemakan protes yang mempunyai suara geramm.