Jumaat, 31 Oktober 2008

Habis Madu Jalan Bersepah part 3 (final)

Askar datang dari sukarelawan yang menyahut seruan menegakkan keADILan, Seruan disahut kerana sukarelawan datang dari kalangan rakyat terbanyak. Sudah tentu kebangkitan mereka didorong oleh perasaan jelek melihat sikap penguasa zalim yang menekan.

Oleh yang demikian, askar berperang dengan niat menamatkan era penindasan penguasa zalim. Tersemat dalam hati askar untuk melakukan perubahan dari kezaliman kepada keADILan!

Sayangnya itu tidak berlaku, askar dicampak setelah meraih kemenangan. Pengisian perubahan yang diharapkan menjadi sebaliknya. Keputusan dangkal golongan "Profesional" dalam mentadbir negeri menjadi tamparan hebat buat askar.


Askar seperti yang diketahui berasal dari kalangan rakyat, sudah tentu segala rintihan, keluh-kesah serta kemarahan rakyat amatlah dirasai oleh askar. Askar akan diherdik oleh rakyat apabila nasib rakyat masih tidak berubah seperti yang diharapkan. Lantaran itu askar mula berdepan dengan persoalan dari rakyat kebanyakkan, "mana perubahan yang dijanjikan?"

Alangkah baik sekiranya kedua golongan ini bersatu, pasti kombinasi antara "Profesional" dan pakar pertahanan dapat melicinkan sekaligus memacu negeri kearah kegemilangan. Namun perkara itu ibarat mimpi disiang hari, pihak askar tentunya sanggup berkerjasama memandangkan itu adalah matlamat perjuangan yang sekian lama digenggam. 'profesional" pula bagaimana? Masih mahu mempertahankan kasta koporat?

Sedih yang teramat melihat perjuangan yang didukung menjadi sedemikian rupa. Namun pada siapa mahu diadukan perasaan ini? Tentunya tidak sama sekali pada golongan "Profesional", ini kerana mereka sudah memekakkan telinga dan menutup pintu untuk para askar yang dianggap"keparat".


Jikalau nasib askar hari ini merupakan tekanan dari penguasa zalim terdahulu, Sudah tentu askar akan mengadu pada ketua kem, dan seterusnya ketua kem akan merencana strategi untuk menentang penguasa gila tersebut. Tetapi nasib askar hari ini bukannya dari penguasa gila, ianya adalah akibat tekanan orang kem sendiri yang mula lupa akan matlamat perjuangan.

Maka tiadalah tempat lagi melainkan diadukan pada Allah SWT... hanya dia yang maha mengetahui. "Andainya kemenangan ini berupa ujian darimu, sesungguhnya kami tewas. Sesungguhnya kami disini terseksa,kami disini terkorban,kami teraniaya..Hanya padamu tempat kami mengadu dan berlindung, berikanlah petunjuk....kami redha dengan ketentuanmu ya Allah. "

Amin

Khamis, 30 Oktober 2008

Habis Madu Jalan Bersepah part 2

Askar juga manusia, sama seperti orang koporat dan teknokrat, oleh itu askar juga punya perasaan dan maruah. Askar juga punya kemahuan, cuma mungkin kemahuan itu tidak sama dengan kemahuan golongan koporat atau teknokrat.

Pemikiran mereka juga berlainan dengan pemikiran golongan koporat yang punya idea taraf Profesional. Tetapi adalah malang sekali menolak askar secara total dek kerana alasan fikiran mereka tidak mencapai standard golongan koporat atau teknokrat.

Penolakkan ini hanyalah akan mendatangkan musibah pada kem tersebut. Musuh akan mengambil kesempatan untuk menyerang kembali, Dikala itu siapa yang mahu pertahankan kubu? adakah golongan "Profesional"? Mampukah mereka berpencak mempertahankan kubu dari ditawan musuh?

Nah! Disitu jelas menampakkan kebodohan golongan "Profesional" itu tadi. Mereka sudah tentu tidak mahir dengan penggunaan senjata apatah lagi mencatur strategi perang. Ketika inilah askar yang dianggap golongan keparat diperlukan, askar cukup Profesional dalam menghadapi situasi perang yang mendesak.

Dengan ketiadaan askar yang mempertahankan kubu-kubu ataupun benteng pertahanan, sesebuah negara pastinya berdepan situasi kalut. Rakyat yang semakin bimbang melihat senario tidak menentu ini akan memberi ruang pada pihak musuh, maka tentunya pihak musuh dengan mudah menerobos masuk dan menawan.

Habis Madu Jalan Bersepah part 1


Semuanya seolah baru semalam...Perjuangan yang didukung selama 10 tahun berakhir dengan sedikit kemenangan.



Gelita yang menyelubungi kehidupan... mula menampakkan sinar, walau tidak cerah namun ianya cukup untuk menerangi harapan yang sekian lama diselimuti kegelapan.


Kebiasaannya bila perang tercetus, askar akan berhempas pulas bertahan dan menyerang. Kehidupan mereka digadai demi sesuatu perjuangan yang didukung. Sayangnya bila beroleh kemenangan, nama mereka langsung tidak terpahat dalam lipatan sejarah. Pengorbanan mereka yang senantiasa berada dibarisan depan diketepikan. Kalau adapun yang dikenang hanyalah Kapten ataupun kepala perang.



Menjadi lumrah selepas kejayaan sesuatu peperangan, Golongan politik yang terdiri dari Teknokrat mahupun Koporat akan mengambil tempat. Kononnya mereka ini orang bijak, maka mereka layak untuk menduduki tempat tertinggi dek kerana Profesionalnya mereka itu.



Pada masa itulah para askar yang disanjung pada permulaanya diketepikan. Alasan mudah ialah mereka "Tidak layak" untuk memainkan peranan dalam pentadbiran. Kononnya tahap IQ askar tadi rendah serta tidak punya asas yang membolehkan mereka layak untuk diangkat mentadbir bersama golongan "Profesional" tadi.



Ketrampilan atau imej askar juga mula menjadi pertikaian, Sistem kasta mula diperkenal. Dan pastinya askar tadi akan dicampakkan ke kasta yang cukup rendah laksana keparat.



Inilah apa yang disebut sebagai "Habis Madu Jalan Bersepah"... Askar hanya mampu memerhati golongan Teknokrat atau koporat menjarah dan memunggah segala harta rampasan perang. Kesetian para askar diperlekehkan, askar ditekan laksana musuh.



Nasib askar cukup malang, setelah diperah segala keringat... mereka dilayan seolah tidak punya maruah. Suara mereka yang dahulu dianggap keramat.. kini dianggap bangsat.



Tetapi aku yakin dan percaya, sebaik semboyan perang ditiup semula.. para askar akan kembali dikerah. Waktu itu para askar kembali dilayan dan ditabur dengan alunan kata-kata indah. Apa sahaja permintaan askar akan cepat dipenuhi, berbeza dengan sebelum perang. Kali ini suara para askar kembali dianggap "keramat'..pemikiran askar dipuji bagaikan punya pemikiran Profesional.

Dan waktu itu askar akan kembali berperang, berjuang menegakkan keADILan. Manakala tokoh-tokoh Profesional menanti dengan senyap. Begitulah kitarannya, yang berjuang belum tentu merasai nikmat kemenangan .



Selasa, 21 Oktober 2008

Pemilihan UMNO: penentu nasib negara?????




Arakian terpacullah satu rintihan dari seorang Pendekar UMNO, Adapun rintihan itu telahpun menjadi lumrah dalam rumah usang UMNO. "Beli Undi" merupakan perkara biasa bagi mereka yang punya lambakkan wang , namun amat luar biasa pada mereka yang kurang ataupun lokek mengeluarkan wang.


Rais Yatim bukan nama baru dalam gelanggang UMNO, Beliau pernah "membakar jambatan" dan berjaya membina kembali jambatan tersebut. Untuk itu aku tabik spring padanya, Kerana jambatan yang dibina olehnya berupaya melintasi jerung-jerung UMNO, Dan Rais kini bergelar seorang menteri.

Kembali pada persoalan membeli undi, Sememangnya para perwakilan UMNO senantiasa mengharapkan adanya pertandingan. Dengan adanya pertandingan, maka mereka bakal memperolehi habuan. "camni baru boleh dapat garam" perkataan yang sering aku dengar dari budak-budak UMNO bilamana adanya pemilihan parti keramat tersebut.

Yang sedihnya ialah nasib 22 juta rakyat bakal ditentukan para perwakilan UMNO yang gilakan garam, maka tidak hairanlah melihat Ketua-ketua mereka "melanun" harta rakyat selagi boleh. Tujuannya ialah mahu memberikan garam pada perwakilan agar dapat melonjak ketangga yang tinggi atau sekurang-kurangnya kekal ditangga sekarang.

Bagi mereka yang tidak mahu mencari dan seterusnya mengeluarkan garam, alamat pendeklah usia dalam UMNO. manakala yang menang akan terus menjarah dan memunggah khazanah negara demi survival politik masing-masing. Harta yang sepatutnya menjadi agihan kepada rakyat, diagihkan kepada kalangan suku kaum UMNO (KRONI) dan mereka akan beri pada orang cina atau india dengan meraih komisen yang tinggi tanpa perlu bersusah payah.

Sebab itu DEB sampai hari ini tidak berjaya, Dasar yang sepatutnya menjadikan Ekonomi melayu berada ditahap tertinggi menjadi sebaliknya. Orang melayu hidup selaku Baru@ dalam negara sendiri, malah ada yang masih "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang".

Sebab itu aku antara anak muda yang menyertai gagasan penentang UMNO, Dan kejatuhan UMNO dibeberapa buah negeri yang menjadi lubuk duit mereka, tumbang akibat kebangkitan anak muda Malaysia yang kian celik. Biarlah tiada garam yang ditaburkan keatas kami, Janji negara kami adalah hak kami. Pilihanraya Umum sewajibnya dijadikan medan penentu kepimpinan kerajaan, Bukannya "Perhimpunan agung UMNO" di mana para perwakilannya yang mentekedarah garam politik menentukan halatuju negara.

Oleh yang demikian, janganlah kita terpesona dengan slogan retorik "Ketuanan Melayu!" laungan lanun-lanun UMNO, Sejarah Melaka sudah cukup membuktikan. Kerajaan Melaka yang gah satu ketika dahulu, hilang entah kemana. Semuanya kerana mahu mempertahankan kuasa dan ketuanan masing-masing, Sedang nasib rakyat semakin terpinggir. Apa guna ada gelaran dan dihormati, sedang negara ekonomi yang sepatutnya milik melayu terus layu. Apa Guna punya pangkat dan kedudukkan, sedang rakyat menderita menjadi hamba dalam negara sendiri.

Apa guna Melayu menjadi Tuan, sedan ekonomi dijarah segelintir tokoh dan dijual kembali pada bukan melayu. Jawapannya ialah "Back to the Quran" kembali pada hadis dan sunah, Ketuanan islam akan merealisasikan Ketuanan Rakyat! Islam meletakkan keADILan sebagai asas dalam setiap suruhannya, Semua manusia punya hak dalam islam dan menjadi kemurkaan Allah kiranya umat islam bertindak zalim pada yang bukan islam.

Akhir kalam, ayuh anak muda sekalian.. kita adalah pewaris negara ini. janganlah sampai kita diwariskan sebuah negara lingkup sedang segala hartanya kering disedut puak-puak lanun yang bertopengkan ketuanan melayu. kiranya hal itu terjadi, apakah yang mampu kita ceritakan pada anak-anak kita kelak?

Jumaat, 17 Oktober 2008

TG.Nik Aziz:Islam For All!!!

Merujuk pada artikel "Kata PAS For All tapi....", saya tidak bermaksud untuk mengguris perasaan sesiapa. Sebaliknya artikel itu hanya merujuk kepada "Segelintir ahli dan pimpinan PAS" yang gemar memandang sinis serta menanam perasaan curiga terhadap rakan pimpinan PR.

Namun aku cukup yakin, tidak semua ahli PAS bersikap sedemikian. Melihat kepada Tuan Guru Nik Aziz, beliau seorang pemimpin yang sederhana tetapi punyai jiwa besar serta cukp berhikmah. Aku amat tertarik dengan pendekatan beliau dalam berdakwah, Tuan Guru akan bercakap tentang islam dimana sahaja beliau berada.

Pernah beliau berceramah tentang toleransi dan keindahan islam didalam tokong Budha diKelantan, yang mana beliau dijemput untuk merasmikan pembukaannya, Walhasil kaum cina dan India menyanjung tinggi keperibadian Tuan Guru. Berkat usaha yang tidak pernah kenal erti jemu, hari ini kita dapat lihat.. selain Anwar Ibrahim, wajah Tuan Guru juga dijulang kaum bukan islam. Mereka tidak gentar malah mula memahami konsep dan perjuangan islam syumul yang dijuangkan oleh PAS selama ini.

Tuan Guru nyata seorang yang punya pemikiran terbuka dan tidak sekali-kali jumud dalam penyebaran dakwah, buktinya penyanyi Amy Search yang terkenal dengan imej Rock boleh mendekati Tuan Guru dan makan semeja dengan tokoh besar itu. Sifatnya yang sederhana, sesuai dengan sunah Rasullulah menjadikan Tuan Guru ikon pada gerakkan islam diMalaysia ini. malahan anak muda mula menjadikan Tuan Guru antara role model dan mentor mereka.

Oleh yang demikian aku yakin dan percaya, andai semua ahli dan pimpinan PAS bersikap seperti Mursyidul am Tuan Guru Nik Aziz, UMNO-BN akan terkubur dari kancah politik Negara,Dan aku juga yakin PAS akan menjadi parti Dominan dalam PAKATAN RAKYAT! InsyaAllah ...

Selasa, 14 Oktober 2008

katanya "PAS For All" tapi....

Hairan lagi pelik melihat tingkahlaku segelintir ahli dan pimpinan PAS. Hairannya bila terkenang slogan mereka pada PRU-12 lalu yang berbunyi "PAS For All",hakikatnya...

Sebenarnya aku minat dengan perjuangan PAS, teruja melihat sikap Tuan Guru Nik Aziz yang cukup sederhana. Malangnya sikap Tuan Guru Nik Aziz jarang ada pada pimpinan Pas yang lain, mengapa?

Aku punya pengalaman dengan pimpinan Pas, baik diperingkat kawasan mahupun pusat. Acapkali aku menemui pengalaman yang sama. SINIS... itulah pandangan mereka pada aku dan setiap anak muda yang cuba mendekati mereka.

Mengapa harus mereka bersikap begitu? Penyertaan aku kedalam keADILan cukup mencabar, kerana didalam keADILan punya pelbagai fahaman. Maka sebagai anak muda muslim, aku wajib mempertahan dan menyebarkan risalah islam pada mereka.

Justeru itu, bantuan dari rakan pimpinan PAS amatlah diperlukan. Malang sekali lagi, usaha aku ini dipandang enteng oleh mereka. Mungkin bagi mereka, Ceramah dan kuliah dimasjid mahupun disurau adalah yang terbaik, (lagipun ceramah kat situ leh dapat duit) dari menghabiskan masa turun dan bersama mendekati golongan yang jahil islam.

Kalaulah Nabi Muhammad saw menjalankan dakwah seperti apa yang ustaz-ustaz PAS buat sekarang., rasanya berapa ramai yang masuk islam? Dan sekiranya Nabi Muhammad saw memandang sinis pada Omar yang terkenal dengan sifat kasar dan samsengnya itu, agaknya islam dimana sekarang?

Curiga dengan rakan pimpinan PR seolah sudah menjadi pegangan PAS. Yang anehnya, mengapa baru sekarang mahu curiga? mengapa tidak sebelum PRU? PAS tidak akan berjaya sampai bila-bila sekiranya kekal dengan momentum ahli sufinya seperti sekarang. Lihat pada beberapa acara sambutan yang dijalankan oleh PAS, Pastinya ada tempat VIP dan "Unit Amal" akan mengepung kawasan tersebut laksana UTK. Amboi..(dah macam UMNO lak, patutlah bunyi nak gabung)

Terkenang masa belajar sirah Nabi dahulu, Rasullulah lebih gemar makan bersama para hadirin. Pernah seorang sahabat mengadu pada sahabat yang lain, betapa sukarnya memberi salam kepada Rasullulah. ini kerana Rasullulah akan terlebih dahulu mengucap salam pada sesiapa yang ditemuinya.

Rasullulah juga sering bersangka baik, pernah satu ketika dimana seorang arab jahilliyah ,yang sering melontar batu kearah Rasululah setiap kali baginda melewati halaman rumahnya jatuh sakit. Baginda terus sahaja mengunjunginya dan bukannya sekadar melawat, malah nabi membantunya mengemas rumah,memasak air dan menyuapkan makanan kemulut arab jahilliyah tersebut.

Demikianlah antara kisah baginda Rasullulah yang membuatkan Islam punya penganut yang teramai dimuka bumi Allah swt ini.

Aku tidak kisah kalau mahu terus dipandang sinis oleh golongan sufi ini. Aku lebih bimbang kalau Allah swt menyindir aku dimasyar nanti, dan sindiran itu berbunyi " mengapa kamu simpan apa yang kamu tahu dari mereka yang tidak tahu? adakah kamu perasan dengan ilmu dan sikap kamu itu, layak untuk menduduki syurga aku?" Bayangkanlah...

Akhir kalam, slogan PAS for all sudah tidak lagi relevan, sebaliknya yang paling sesuai ialah "Islam For All". TAKBIR!

Rabu, 8 Oktober 2008

Teman Sejati (Pejuang Perubahan)



Pagi semalam aku menghantar satu sms kepada seorang teman seperjuangan, sms tersebut merupakan luahan kebimbangan aku terhadap situasi Parti mutakhir ini.

Sebaik menerima sms tersebut, beliau lantas menghubungi aku. Hmm..Mulanya aku menyangka sms yang kukirim padanya membuatkan beliau marah, Almaklumlah...temanku ini sudah membuat keputusan untuk bersara dari dunia politik.

Sangkaan aku meleset, beliau nampak cukup bersemangat mengulas situasi semasa Parti. Ulasannya membuatkan aku hampir terlupa dengan persaraannya, seolah beliau masih lagi "on track".

Perbualan kami berlangsung setengah jam lamanya, beliau memberikan pandangannya tentang isu-isu semasa. Selain itu beliau juga menasihati aku agar terus kuat dalam mengharungi perjuangan yang tidak berkesudahan ini.

Terdetik dalam kalbu, mengapakah orang sepertinya tidak dihargai? jasanya dalam parti bukan sedikit, malah adakalanya idea yang dilontarkan oleh beliau menjadi penyelamat keadaan. Misalnya penubuhan JDM (Jawatankuasa Daerah Mengundi), ianya cukup berkesan bagi melicinkan pergerakkan parti dalam membawa agenda perubahan ke kawasan-kawasan tersebut.

Melihat keadaan beliau ini, membuatkan aku terkenang detik pertarungan PRU-12 yang lalu. Waktu itu semua pejuang "All Out" sepanjang kempen Praya berlangsung. Tiada langsung terlintas difikiran kami untuk menagih habuan, sebaliknya kami mahu bersama mengembalikan "Kemerdekaan sebenar" buat seluruh rakyat.

Perjuangan ini juga diharung dengan semangat mahukan perubahan! Tetapi itu semua sudah menjadi kenangan. Buat temanku itu, aku doakan agar beliau terus dikurniakan kehidupan yang aman..InsyaAllah.

Ahad, 5 Oktober 2008

"Mati Semut kerana Gula"

Merujuk kata pepatah lama "mati semut kerana gula", amatlah sesuai dengan situasi politik masa kini. Ramai yang tahu dengan pepatah ini, tapi mungkin ramai juga yang kurang arif dengan maknanya.

Semut tahu yang dia akan menemui ajal kiranya berterusan menghimpit gula, namun semut tidak pernah serik malah tetap seronok mengejar gula.

Sifat semut ini, boleh diterjemahkan dengan sifat si jakun-jakun politik yang sibuk mengejar habuan. Sejarah telah cukup membuktikan, kejatuhan sesuatu empayar disebabkan oleh sifat buruk pimpinan yang sibuk mengejar harta tanpa mempedulikan nasib rakyat terbanyak.

DiMalaysia umpamanya, kejatuhan UMNO dibeberapa buah negeri adalah disebabkan kerakusan para juak-juaknya menyedut serta memunggah khazanah negara untuk kepentingan peribadi. Tiada pemimpin UMNO yang tidak kaya, memasuki saf kepimpinan UMNO adalah merupakan kunci kekayaan singkat. Oleh itu amatlah bodoh, kiranya memasuki organ UMNO tanpa keluar dengan kekayaan.

Rakyat pula semakin menyampah melihat kerenah para juak UMNO yang kesana-sini dengan kereta mewahnya. Telinga rakyat menjadi geli pabila laungan "Hidup Melayu"di dendangkan oleh juak-juak UMNO. Ini kerana, lebih banyak dan lebih kuat laungan itu..maka lebih banyak mereka rompak harta melayu.

Oleh yang demikian, rakyat mengambil tindakkan drastik untuk mengubah kerajaan dari BN kepada PAKATAN RAKYAT. Tujuannya hanya satu, "mahukan pembelaan" dari seorang yang bergelar YB( Yang Berkhidmat ). Mereka sudah jemu dengan janji-jani retorik sang YB (Yang Berhormat).

Justeru itu, pihak PAKTAN RAKYAT harus bekerja kuat untuk rakyat yang memilih.Manakala Habuan yang tersedia didalam kantung-kantung negeri adalah milik rakyat, sewajarnya ia dipulangkan kembali kepada rakyat.

Pimpinan PAKATAN RAKYAT, disemua peringkat juga harus menghindari sifat kebodohan sang semut yang mengejar gula, jadikanlah ianya sebagai panduan dalam melayari bahtera kerajaan. Sekali lagi dingatkan!, Kejatuhan rejim UMNO-BN disebabkan juak-juaknya begitu jakun dengan habuan dunia. Sehingga kini UMNO-BN tidak pernah insaf apatah lagi malu dengan kebodohan mereka itu.

Mereka tewas dengan bisikan "Syaitan Wal Iblis" yang meniup sentimen tamak kedalam sanubari mereka.

Ingatlah " Mati Semut kerana Gula" dan Jatuhnya rejim UMNO kerana tamak". Rebahnya UMNO dek kerana sarat dengan para juaknya dan naiknya PAKATAN RAKYAT kerana dukungan para pejuang yang membela nasib marhein.

Khamis, 2 Oktober 2008

Kami bukan Politikus, kami PEJUANG!!!

Sebulan yang lalu, saya telah membuat pengumuman untuk meletakkan jawatan selaku Ketua AMK Subang.Keputusan ini walaupun ditentang oleh semua AMK Subang, namun saya tetap dengan pendirian yang telah dibuat.

Ekoran dari keputusan saya itu, maka AMK Subang akan dipangku oleh Timbalan saya yakni Saudara Dzulkhairi sehingga pemilihan 2010.

Menjadi aneh, pabila satu keputusan dalam mesyuarat tergempar Bahagian yang berlangsung baru-baru ini, telah menafikan hak AMK Subang dengan melucutkan semua barisan pimpinan AMK Subang dan menggantikannya dengan satu pasukan yang kononnya orang lama.

Perbuatan ini jelas melanggar etika parti dimana Bahagian tiada hak untuk menentukan apatah lagi melucutkan AMK Subang.

Alasan yang diberikan oleh mereka AJK Bahagian yang sembunyi semasa Perang tetapi muncul kembali setelah menang, cukup dangkal.

Saya menasihati pada teman-teman sekalian agar bertenang, Saya pohon agar mengikut arus. Perjuangan ini bukannya untuk mengejar pangkat dan habuan, ianya untuk kita menegakkan keADILan buat semua.

Suka diingatkan, bahawa wadah perjuangan ini tidak harus dijadikan pentas politik yang penuh dengan aksi sepak terajang. Ianya bukanlah seperti yang saya juangkan selama ini, Saya perjuangkan ialah keADILan dan kebenaran, Saya berjuang untuk membela nasib rakyat yang miskin dan terpinggir.

Tidak pernah walau sekelumitpun terdetik dihati untuk mengejar pangkat dan menagih habuan. Saya juga mahu seluruh anak muda menolak orang yang pandai bermain politik, kerana sudah sekian lamanya kita dibelenggu oleh janji-janji retorik mereka.

Perjuangan ahli politik hanyalah berkisar pangkat dan habuan, sedang pejuang mengharapkan kesejahteraan dalam kehidupan.

Tumbangnya UMNO-BN kerana mereka sarat dengan ahli Politik, naiknya PAKATAN RAKYAT kerana didukung oleh para pejuang perubahan! Dengan itu, seharusnya tiada tempat buat mereka yang mahu bermain politik disini.

Maka sewajarnya AMK Subang menuntut satu sidang pemilihan diadakan sempena Mesyuarat Agung AMK Tahunan yang akan berlangsung dalam waktu terdekat ini.

Oleh yang demikian, Saya akan adakan majlis perjumpaan dengan seluruh ahli AMK Subang serta para pejuang untuk nyatakan pendirian saya dalam isu ini,

Perjumpaan ini akan diadakan dalam waktu terdekat, yakni sebelum berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan.Berkenaan lokasi dan waktu akan dimaklumkan kelak.

Justeru itu saya ingin memberi ingatan pada mereka yang berkenaan:- "kami bukan ahli politik tetapi kami Pejuang!!"

REFORMASI!