Mengimbau detik kejayaan islam suatu waktu dahulu,pasti kita ketemu dengan sikap para pemimpin terdahulu yang punya jiwa besar dan berhikmah. Memahami erti jihad yang mendalam dengan menjadikan keseluruhan kehidupannya untuk berjihad atas nama Allah.
Dalam konsep jihad, jika diteliti ianya punya makna dan cara yang luas serta pelbagai.Perang adalah jalan terakhir kerana Islam amat menghargai nyawa. Keberanian berdepan dengan musuh tidak semestinya dimedan perang semata-mata, sebaliknya berhujah dengan fakta yang kukuh serta memahami bahawa Islam adalah agama yang membawa kebenaran dan pencerahan.
Memandang musuh dengan sifat kasihan diatas kejahilan mereka merupakan ketinggian akal budi umat islam.Pemimpin islam hendaklah membuang sejauh yang mungkin sifat prejudis dan menghargai percanggahan pendapat sebagai suatu lumrah kehidupan.
Tidak sedikitpun maruah islam tercalar jika berterusan menganjur perundingan, sebaliknya ia akan menaikkan martabat Islam sesuai dengan penganjurannya kearah kebaikkan.Sebagai umat islam, kita seharusnya memberikan kaedah atau alternatif kepada sesuatu perkara yang ditegah.
Sebagai contoh, Allah mengharamkan Riba manakala Rasullullah S.A.W pula memberikan kaedah yang lain dalam urusan jual beli bagi mengelakkan berlakunya Riba. Dengan cara itu islam terlihat sebagai suatu agama yang membimbing dan tidak mengongkong.Ibarat empangan air, sudah tentulah empangan tersebut tidak mampu menahan takungan air selama-lamanya.Maka dilorongkan air tersebut dengan teratur dan sesuailah dengan sifat air yang sememangnya mengalir.
Oleh yang demikian, umum menyedari bahawa setiap manusia mempunyai nafsu dan keinginan.Makanya tiap keinginan itu harus dibimbing agar ianya teratur dan tidak melanggar etika islam seterusnya mendatangkan musibah kepada manusia.Janganlah kita hanya memandang kepada hukum semata-mata, sebaiknya melihat kepada jalan alternatif penyelesaiannya seperti yang pernah dilakukan Rasullullah serta imam 4 yang lain.
Menghukum tanpa menyelesaikan sesuatu perkara akan mengakibatkan pemberontakkan dan mengundang musibah, samalah seperti empangan yang hanya menyekat tanpa mengalirkan air.Nescaya empangan tersebut pasti akan pecah dan akan mengakibatkan malapetaka besar kepada kehidupan sekelilingnya.
Justeru itu, kesanggupan berwacana secara ilmiah dalam mencari titik penyelesaian juga dikira jihad.Sepertimana yang kita tahu jihad bukanlah dimata pedang semata-mata, ianya harus diadaptasi kepada seluruh kehidupan kita dalam meniti cabaran selaku hamba Allah S.W.T.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan