Khamis, 11 September 2008

Surat Terbuka untuk kerajaan Selangor


PERMOHONAN GERAN KG SRI INDAH (A/B) DAN CADANGAN BAYARAN PREMIUM SECARA ANSURAN

Kehadapan Tan Sri Menteri Besar Selangor yang dihormati. Merujuk kepada perkara diatas, kami mewakili penduduk Kampung Sri Indah Sungai Buloh, merayu diatas keprihatinan Y.A.B agar menyelesaikan masalah kami yang sudahpun berlanjutan hampir 20 tahun.

Permasalahan ini hadir akibat permainan politik “retorik” dari sang penguasa Zalim yakni UMNO-BN,sewaktu mereka masih berkuasa sedikit masa dahulu.Sering kali kami penduduk kampong dilagukan dengan berita indah kononnya akan diberikan geran bila tiba Pilihan raya umum, namun ianya akan berlalu begitu sahaja tatkala Pru selesai.

Kami penduduk Kampung yakin dan percaya, arus perubahan yang berlaku pada 8 mac lalu, merupakan sinar buat kami. Tumbangnya kerajaan penindas BN dan naiknya kerajaan PAKATAN RAKYAT yang meletakkan kebajikan rakyat sebagai asas utama dasar kerajaan, dapat membantu menyelesaikan kemelut Geran yang menyesakkan ini.

Oleh yang demikian, kehadiran kertas kerja ringkas ini diharap mampu menjadi ruang pembuka jalan kepada perkara yang menyangkut permasalahan melayu terpinggir.Kerjasama Tan Sri selaku Menteri Besar yang prihatin kepada nasib marhein amatlah kami hargai.

PENGENALAN

Kg Sri Indah terdiri daripada dua kampung, iaitu Kampung Sri Indah (A) dan kampung Sri Indah B). Kedua-dua kampung ini mula dibuka sejak tahun 1989.

Sebab pembukaan Kampung Sri Indah ini terbahagi kepada dua perkara, iaitu;

a. Pemindahan setinggan di dua tempat yang berasingan, iaitu Selayang Bahagia dan Jinjang, Kepong. Ini berlaku kepada Kampung Sri Indah (A)
b. Penempatan tambahan dari Kampung Melayu, dan ianya adalah tawaran kepada rakyat yang menyewa lama di Kampung Melayu, Sg Buloh. Ini berlaku kepada Kampung Sri Indah (B).

Walaupun penempatan ini bermula semenjak 1989, tetapi sehingga kini tidak mempunyai sebarang geran. Begitujuga, sebelum ini sudah ada usaha-usaha yang telah dilakukan untuk mendapatkan geran, tetapi tidak menghasilkan sebarang natijah, sebaliknya "gula-gula" pilihanraya yang sering dimainkan oleh parti terdahulu demi mengaut keuntungan politik.

Justeru itu, bagi memberi gambaran secara umum tentang keadaan dan nasib rakyat di kampung ini, kehadiran kertas ini sebagai rayuan terhadap keperhatinan pihak kerajaan.

BILANGAN PENEMPATAN

Penempatan Kg Sri Indah (A) seramai 740 penempatan.

Penempatan Kg Sri Indah (B) seramai 128 penempatan.

STATUS PERMOHONAN

Permohonan tanah ini telah diluluskan pada tahun 2005 dengan penyerahan borang 5 A (sila rujuk pejabat tanah Gombak) bagi penempatan Sri Indah B, manakala bagi penempatan Sri Indah A pada tahun 2007.

Berikutan itu, segelintir pihak penduduk yang berkemampuan telah melakukan pembayaran Premiun, namun begitu, geran tetap tidak dikeluarkan sehingga kini.

Lihat lampiran A dan B

Berikutan itu masih wujud lagi sebilangan besar penduduk yang tidak dapat melunaskan bayaran premium, disebabkan bayaran premium yang tinggi, disamping ketidakmampuan pihak penduduk melunaskan bayaran itu secara tunai.

RAYUAN KAMI

Rayuan kami terhadap pihak kerajaan yang menjadikan kebajikan rakyat sebagai urusan utama agar melakukan perkara berikut;

a. memberikan geran kepada mereka yang telah membayar premium.
b. Merayu agar pihak kerajaan membenarkan bayaran premium secara ansuran, dengan bayaran yang serendah RM 200.00 sahaja sebulan.

PENUTUP

Diharapkan segala permasalahan kami ini dapat diambil perhatian oleh pihak kerajaan Selangor dibawah kekuasaan Pakatan Rakyat yang menjadikan Kebajikan rakyat sebagai perkara utama.

Mudah-mudahan segala usaha ini mendapat keberkatan di sisi Allah, juga menjadi bekalan akhirat di kala mengadap Allah SWT.


Yang benar;

Wan Ji bin Wan Hussin Al-Bakistani (PAS Subang) &
Mohd Radzi bin Mohd Aris @ Edieputra (PKR Subang)
7 september 2008

1 ulasan: