Jumaat, 12 September 2008

Deklarasi Permatang Pauh

Inilah merupakan pegangan aku dalam mengharungi liku perjuangan yang penuh pancaroba ini.

Disebabkan pegangan ini jugalah aku telah dihumban keluar oleh ayah yang berpegang teguh dengan "mazhab UMNO" serta berkiblatkan PWTC.

Kerana berpegang pada ikrar ini jugalah aku terpaksa menderita berkerusi roda akibat ditendang FRU selama 1 tahun.

Kerana teguhnya pendirian aku terhadap ikrar ini jugalah, maka aku dianggap "gila" oleh teman-teman yang tidak pernah faham apa erti perjuangan. Bagi mereka cukuplah dengan kehidupan mereka yang senantiasa dilimpahi keseronokkan selaku remaja, daripada membebankan diri turun kejalanraya menuntut keADILan.

Kerana degilnya aku dengan ikrar ini jugalah, menyebabkan aku terpaksa bermalam diPULAPOL dan lokap Dang Wangi.

Kini genaplah 10 tahun aku menggenggam erat ikrar keramat ini, Segala kesengsaraan mulai menampakkan sinar kemenangan.

Namun aku tetap seperti dahulu, kais pagi makan pagi...badi 10 tahun menentang penguasa zalim masih terasa dan seolah kekal.

Cuma kadang ada jemputan kumpulan anak muda, yang berminat untuk mendengar pandangan dan seruan aku dalam perjuangan yang tidak berkesudahan ini.

Aku percaya dengan pegangan ini, justeru itu aku akan terus tetap berjuang menentang kezaliman!

Biar seksa,biar pedih dan biar azab sekalipun aku akan hadap.

LAWAN TETAP LAWAN!

Menyedari gesaan al-Quran yang bermaksud “tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami”;

Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat;


Dan menginsafi bahawa Malaysia kini dicengkam kemelut yang dahsyat dan memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula;


Maka kami rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama bertekat untuk melancarkan gerakan reformasi yang menyeluruh:

Gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani,dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram di belenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil;

Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua,yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin;membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;

Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi. Democrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan;

Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi,menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi kerakusan individu;

Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan mahakaya;

Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya;

Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia kezaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.

Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.

Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi.

Permatang Pauh12 September 1998
ANWAR IBRAHIM

1 ulasan:

  1. Salam..
    Sedih bila baca artkel ini. Mampu membuatkan saya mengalirkan airmata..sehingga sukar untuk saya memberi komen, saya ingat lagi tatkala DSAI di pecat dari jawatan beliau, 3 hari saya bersedih dan tidak mampu berkata-kata. Betapa sedihnya saya melihat pemimpin yg saya kagumi hilang dari jawatannya. Saya menunggu sejak dari zaman saya sekolah rendah untuk melihat pemimpin ini menjadi Perdana Menteri Malaysia...tapi harapan saya masih tidak kesampaian. Doa saya semoga Allah swt memberi peluang kepada beliau menjadi PM negara ini dan membuktikan bahawa beliau layak menjadi pemimpin rabbani, dan hapuskanlah segala rasuah dan kezaliman di bumi bertuah ini.

    SHANA

    BalasPadam