Selasa, 31 Mac 2009

najib:-BERSEDIALAH UNTUK MENGUBAH GAYA HIDUP!!!


Arakian bertebaranlah suatu berita yang mengatakan bahawa akan ada satu upacara khas bakal berlangsung diBalai Rong Seri Istana Negara, sekitar jumaat ini. Adapun kesahihannya masih belum dapat dipastikan, ini kerana mereka yang dikatakan telah diundang kemajlis tersebut, tampak enggan untuk mengesahkan apatah lagi membicarakannya.

Pada pihak aku secara peribadinya, bermula dari ketika, waktu dan saat ini, aku telahpun membuat persediaan bagi "mengubah gaya hidup" demi menyambut suatu kuasa baru tetapi cara lama dalam mentadbir negara yang tercinta ini. Memandangkan, cara dan pendekatan yang telah diambil oleh bakal penguasa baru itu dewasa ini, Aku sesungguhnya langsung tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyesuaikan diridengan polisi tersebut.Ini kerana, aku sudah punya pengalaman selama 22 tahun ditadbir oleh sang penguasa "apa nama " itu.

Cuma dalam aku sibuk menyiapkan diri bagi menjadi "melayu Glokal", terdetik sedikit simpati dalam naluri aku yang serba kerdil ini. Perasaan ini hadhir, tatkala terkenang akan Tok Imam Hadhari yang bakal dipinggirkan selepas ini.Alahai, apakan daya....Tok Imam tidaklah seberani seperti mana yang kusangka selama ini.

Aku harap beliau selamat dalam tempoh persaraannya, serta tiada anasir-anasir yang cuba menggugah ketenangan Tok Imam Hadhari kelak.

Pak long:- oit nala on the way ptg td ke bkt.gantang n bkt.selambau, hangpa jgn lupa pi dengaq ceramah dia. konpom hangpa gelak punya!! kah kah kah




Isnin, 30 Mac 2009

PRK:-IA TETAP SUATU REFERENDUM!!


Peringatan agar tidak menjadikan 3 pilihanraya kecil kali ini sebagai satu referendum, adalah merupakan satu gesaan bacul. Apatah lagi gesaan itu dibuat oleh seorang yang baru sahaja dinobatkan selaku orang nombor 2 dalam partinya.

Mungkin sahaja beliau menyedari bahawa laungan perubahan dalam partinya hanya bersifat retorik semata-mata. Kalaupun ada perubahan yang dilakukan, ianya sekadar merubah kembali haluan kebelakang. Ini dapat dilihat, tatkala pengumuman KDN menggantung permit akhbar parti pembangkang selama 3 bulan, ianya dibuat tanpa ada alasan yang jelas dari pihak kerajaan. Pendekatan ini tidak ubah seperti mana yang dilakukan diera gelita selama 22 tahun oleh penguasa terdahulu. Nah! apakah ini suatu pembaharuan?

Larangan mengadakan ceramah umum ditempat terbuka sepanjang tempoh berkempen dalam PRK kali ini, juga mempamerkan sikap pemerintahan kuku besi. larangan ini hanya menambah sempit ruang demokrasi yang telahpun sedia kecil .Manakala direnung kembali segala langkah dan pendekatan yang diambil oleh penguasa saat ini, ianya seolah menarik musuh kegelanggang pertarungan dengan matanya ditutup dan tangannya digari.

Kesemua langkah yang diambil sang penguasa jelas, kelihatan gagal menyekat kehendak rakyat yang mahukan perubahan. Kehadiran puluhan ribu rakyat disetiap pusat penamaan calon, dengan mengibar megah panji-panji parti Pakatan Rakyat, telah menyebabkan siPenguasa mula berasa senak. Kehadiran mereka bukan kerana diumpan dengan wang ringgit, Tetapi didorong oleh semangat mahu bebas dari kezaliman dan penindasan.Mereka yang terdiri dari semua kelas,golongan dan bangsa bersatu menuntut hak mereka!

Oleh yang demikian, PRK ini mahu tidak mahu....ia tetap menjadi medan pungutan suara rakyat! adalah teramat dangkal dengan mengatakan PRK ini hanya sekadar Pilihanraya kecil dan tidak ada kena mengena dengan penerimaan rakyat terhadap segala bentuk tindakan KERAjaan UMNO-BN mutakhir ini.Kata-kata sipenguasa tersebut, dilihat sebagai satu lagi cubaan menongkat langit.Zaman sudah berubah, pencerahan sudahpun melanda Malaysia. Rakyat tidak lagi mudah diperbodohkan dengan picisan propaganda murahan,Rakyat mahukan Perubahan, rakyat mahu merdeka dari penindasan dan kezaliman, Rakyat mahukan ekonomi yang membela nasib rakyat! Pulangkan kembali hak Rakyat!!!

Khamis, 26 Mac 2009

KHAIRY Jamaluddin LOVE KHIR TOYO


Debaran siapa yang bakal menerajui Pergerakkan Pemuda UMNO akhirnya sudah terjawab. Khairy Jamaludin telahpun diistihar selaku pengemudi sebuah pergerakkan yang lebih dilihat sebagai "Kelab Jutawan Muda" itu.

Mengamati jumlah undi yang diperolehi KJ semalam, secara teknikal dan prinsipnya beliau sememangnya layak dinobatkan selaku pemenang.Namun jika dilihat dari sudut moral, sesungguhnya KJ telahpun tewas. Hal ini disebabkan telah berlaku pecahan undi, ekoran pertandingan 3 penjuru diantara KJ, Mukhriz dan juga Khir Toyo.

KJ hanya mendapat sekitar 304 undi manakala Mukhriz mendapat 232 undi dan Khir 254 undi. Sekiranya Khir Toyo dengan rela (sedar diri) menarik diri daripada bertanding, berkemungkinan besar Mukhrizlah yang akan dijulang selaku Ketua Pergerakkan Pemuda UMNO yang baru. Ini kerana jika dicantumkan jumlah undi diantara Khir dan Mukhriz, ianya akan menjadi sebanyak 486 undi. Bermakna KJ akan tewas secara majoriti sebanyak 182 undi dan Mukhriz akan menang dengan bergaya setelah mendapat mandat besar dari segi Prinsip dan moralnya.

Oleh yang demikian, amatlah wajar sekiranya Khairy mengucapkan jutaan terima kasih kepada Khir Toyo atau lebih dikenali dikalangan rakyat Selangor dengan nama "Wak Botox". Jika tidak kerana juaknya Khir Toyo untuk merebut jawatan elit tersebut, sudah tentu Khairy akan mengiringi sekali ayah mertuanya keluar dari jamuan tahunan gerombolan itu.

Rabu, 25 Mac 2009

TAK NAK NAJIB?????


Anda mahu NAJIB???

jika tidak klik pada link tersebut:-http://www.petitiononline.com/pmbersih/petition.html

NAJIB:-Badai Glokal semakin ganas


Hembusan angin "Glokal" sudah mula bertiup kencang, kali ini ianya mula membadai Darul Ridzuan. Angin tersebut nampaknya tidak berseorangan dalam misinya, ia juga membawa gumpalan awan menutupi hampir segenap ruang diangkasa. Angin "Glokal" bukanlah kali pertama menghembuskan helanya, ianya sudahpun bermula lebih awal sebelum itu.Bahkan diDarul Ridzuan sudahpun merasai tiupan berserta gumpalan awan tersebut, ia singgah serta telah membuatkan bumi negeri itu kelam keseluruhanya.



Tidak seperti diBukit Selambau Darul Aman, kali ini ruang rakyat untuk berhimpun tidak lagi dihujani gas pemedih mata mahupun tembakkan air kimia.Sebaliknya, lapangan yang menjadi tempat rakyat berhimpun ditutup terus tanpa banyak bicara.



Aku melihat senario ini sebagai perkara biasa, tindakan sedemikian sudah dijangka dari awal.Mengimbau sejarah bermula suara pembaharu diMalaysia sekitar 98 dahulu, Penguasa bertindak pantas mencekup pencetusnya dan dihumban kerumah pasung.Cara ini terpaksa diambil demi mempertahankan Survival gerombolan agar tidak terjerumus kelembah kehancuran pada waktu itu. Tidak cukup dengan langkah tersebut, sang penguasa yang menjalankan "Penerapan nilai-nilai Islam" (apa nama) juga tangkas memintal awan menjadi gumpalan besar bagi menutup segala sinar kebenaran.(kawalan media).



Namun demikian, sebaik "Hadhari" mengambil tempat. Jelas terpamer keberanian dengan melepaskan sang pencetus gerakkan pembaharu dari terus dikurung dirumah pasung. Imam "Hadhari"juga mencucuk dengan jarinya kearah gumpalan awan kelam tadi....agar ada sedikit sinar menembusi bagi menunjukkan keterbukaannya.Malangnya "kusangka panas hingga kepetang, tetapi hujan gerimis ditengah hari", Imam yang punya keris ditangan rupanya tidak berani menikam sebaliknya hanya sekadar mampu memegang hulu keris tersebut.Janji membela kebenaran hanya menjadi retorik sang imam tadi.Akibatnya, pohon Pembaharu mula berakar dan berdiri kukuh.Ranting perubahan menusuk melalui jendela mahligai air mata rakyat di Putra Jaya.Hal ini amatlah tidak disenangi oleh sebilangan besar para aparat gerombolan, tiada jalan lain....imam "Hadhari" mesti dinyahkan dari tampuk kekuasaan.



Kini "glokal" sudah mula merencana strategi untuk berkuasa, segala langkah yang diambail tidak ubah seperti yang "apa nama" itu.Pendek kata, hanya jenama sahaja yang berubah manakala barangnya tetap sama.Darul Ridzuan telah dipilih untuk menjadi negeri pertama merasai hembusan angin"glokal" ini, menyusul kemudian ialah Darul Aman dan selepas itu ia akan merebak kesemua Darul-Darul yang ada kecuali Darussalam.



Persoalan mula timbul dihati rerumput yang kecil namun banyak (marhaen), apakah Pohon Perubahan mampu hidup subur dan seterusnya membesar dan memanjangkan rantingnya agar mampu membelah gumpalan awan kelam "Glokal"? pada aku, jawapannya ada pada rerumput kecil tapi bayak itu, cumanya mungkin sahaja rerumput masih berasa kerdil serta segan untuk menjalar dan membelit pohon perubahan agar terus kukuh berdiri.Hmm...harap kecerahan akan kembali menyinari bumi bertuah ini.

Selasa, 24 Mac 2009

DARUL AMAN:- BERMULANYA ERA GLOKAL...


Pagi ini deraian hujan sambil diringi kebingitan telah memecah keheningan suasana disekitar lingkungan kediamanku. Kelihatan asap atau wap disana-sini yang tercetus disebabkan keadaan bumi mungkin terlalu panas sehari dua ini,makanya kehadiran hujan amatlah dinantikan oleh makhluk peminjam keseluruhannya.



Namun, kebingitan deraian hujan sambil diringi wap atau kabus ini....sesungguhnya tidak sama dengan kebingitan dan kepulan asap diSekitar DARUL AMAN malam tadi. Umumnya kesemua rakyat negara ini telah sedia maklum akan jenis Demokrasi yang dipraktikkan dinegara ini.Cumanya mungkin ianya sudah agak lama tidak bersifat seperti tahun-tahun sebelumnya, namun peristiwa diDarul Aman malam tadi....jelas menunjukkan Demokrasi ini masih tetap utuh.



Bersempena dengan kemeriahan diSungai Petani semalam, Aku mahu memberikan tepukkan gemuruh buat para pimpinan yang sedang sibuk berhimpun menyambut ulangtahun "gerombolannya" diibu negara saat ini. Dan aku juga tabik hormat kepada bakal Presiden sebuah parti yang berjenama inggeris ini, walaupun kesemua mereka dikatakan pembela Melayu nombor satu. Tabik ini adalah merupakan sesuatu yang mampu aku berikan sesuai dengan laungan bakal Presiden tersebut agar mengubah gaya hidup. Makanya, jika kebiasaannya kita berjabat tangan tanda keluhuran nurani, kali ini tabik "spring" menjadi pengganti selaku petanda aku sudah bersedia untuk menjadi umat melayu "Glokal".



Tahniah kuucapkan kepada bakal Presiden tersebut, kerana berjaya menyambung era gelita rakyat. Tahniah juga kerana menutup sinar kecil yang baru memancarkan cahayanya mac lalu.Terlihat jelas bahawa kamu adalah pilihan tepat oleh bekas Presiden yang dikatakan mempunyai saiz kepala sebesar 22 inc itu.Justeru merasakan sudah tiba masanya kita kembali menikmati erti sebenar demokrasi acuan gerombolan, aku dengan rasa bangga selaku rakyat kelas ketiga mengucapkan "Terima Kasih" diatas kenikmatan sistem "DEMOKRASI ALA MALAYSIA".

Selasa, 17 Mac 2009

TERUSKAN PEREBUTAN ITU WAHAI AHLI POLITIK MALAYSIA!!!

Aku merupakan salah seorang dari jutaan anak muda...yang sedang asyik menikmati pertarungan para politikus Malaysia merebut tempat, semata- mata demi kesinambungan karier politik mereka.

Aku juga sedang merenung nasib rakyat yang seolah dipinggirkan, Apakan daya...kita semua hanya layak dijulang selama sehari yakni dimusim Pilihanraya, selepas itu....?adakalanya aku merasakan alangkah baik jika Pilihanraya diadakan selang sehari...daripada 5 tahun seperti sekarang,dengan itu nasib rakyat akan terus terbela..Malangnya itu adalah suatu perkara karut.

Kerancakkan seluruh politikus Negara ini merebut dan mengejar impian masing-masing, membuatkan aku rasa mual,jelek dan meluat. Perasaan ini akan bertambah kacau pabila mendengar mereka mengunakan nama rakyat selaku senjata dalam pertarungan itu. Gegak gempita laungan kononnya mahu membela nasib rakyat, Maka ramailah yang akan terpesona mendengarnya walaupun sudah tahu akan nasib yang tidak akan kemana sebaik puak tersebut meraih kejayaan. Rakyat seperti aku hanya akan kekal sebagai pasukan sorak....sedang pimpinan tadi sudah mula mencatur strategi untuk menjarah harta kami.

Apalah nasib kita, pepatah melayu ada menyebut "Harapkan Pagar, Pagar makan padi". Pepatah itu walau telah digarap sekian lama, namun ianya masih kekal relevan sehingga kesaat ini.Buat para politikus, silalah berpencak, merobek dan menerkam. Suatu hari nanti pasti kalian akan ketemu suatu kuasa yang lebih hebat dari apa yang kalian kejar sekarang.

Mengimbas peringatan para suciwan dalam empayar kuno China dahulu:-

"Mengendalikan mulut rakyat lebih sulit dibandingkan mengendalikan amukan gunung berapi,Rakyat tidak lagi dapat dikendalikan bila ketidak puasan hati mereka telah meledak."

ps:- Pak Long aku selalu sebut,Kuasa Rakyat Kuasa Keramat!!!!

Khamis, 12 Mac 2009

apa khabar SABAH SARAWAK?


Selesailah sudah bakal Presiden UMNO membentangkan "bajet ransangan mini" diParlimen, Manakala Ketua Pembangkang juga telah membahaskan usul tersebut dengan menyentuh integriti penguasa dalam perlaksanaan bajet yang mencecah RM60 bilion membabitkan wang rakyat tersebut.

Jika diteliti bajet tersebut, sudah tentulah wang sebanyak RM60Bilion itu diambil dari kantung dana Negara(Perbendaharaan), Kantung dimana terletaknya kesemua hasil mahsum dari Perlis hingga keJohor serta merentasi lautan hingga keSabah dan Sarawak. Maknanya wang ini kepunyaan rakyat Malaysia keseluruhannya,Makanya bajet tersebut harus dibelanjakan secara seimbang, mencakupi kesemua tempat,kawasan dan negeri dalam negara ini.

Malangnya, tiap kali bajet dibentangkan...sepertimana Kelantan, bumi kenyalang dan negeri dibawah bayu dilihat teramatlah kurang pengagihannya.Merenung keupayaan ekonomi negeri Sabah dan Sarawak, ia jelas memperlihatkan bahaw mereka merupakan penyumbang peratusan hasil yang agak tinggi melalui hasil buminya, Walaupun begitu mereka masih kekal selaku antara negeri termiskin.Kita pastinya membayangkan Sabah sebuah negeri sehebat bandar minyak dunia seperti Dubai, manakala Sarawak pastilah kepesatan pembangunannya setaraf Bandar raya Hong Kong dek kerana hasil buminya seperti kayu kayan dan sebagainya.
Namun itu semua menjadi ilusi semata, hakikatnya negeri tersebut masih berkeadaan seperti sebelum Merdeka, jalan rayanya masih berdebu, kita juga akan melalui pengalaman terpaksa bermalam didalam hutan sekiranya mahu melawat rakan yang tinggal jauh di pedalaman.

Mengapa begitu? kemana hasil mahsum bumi bertuah ini disalurkan? Melihat kepada kemewahan yang dinikmati oleh anggota KERAjaan UMNO-BN disana, sukar untuk kita menerima bahawa mereka dari sebuah negeri miskin.Tetapi sebaik melihat serta berkenalan dengan sahabat dari Sabah dan Sarawak, kita akan sendirinya berasa terkejut serta insaf diri tatkala melihat derita kepayahan mereka mengharungi kehidupan.

Apakan daya wahai sahabat, kita hanya golongan marhaen, mana mungkin suara kita dipedulikan oleh Penguasa. Angka yang mencecah ratusan malah Bilion itu hanya sedap didengar, tetapi jauh sekali untuk kita merasa. Nasib rakan diSabah dan Sarawak tidak jauh beza dengan kami di Semenanjung.Walaupun kami melalui jalanraya yang baik, tetapi kami terpaksa membayar dengan harga yang tinggi.kadang terdetik dihati,apa guna jalan raya bertingkat sedang keringat kita terpaksa diperah saban tahun untuk melaluinya.

Buat semua rakan serta saudara dari Sabah dan Sarawak, bersabarlah...suatu hari nanti siPenguasa serta Politikus ini semua pasti tersentak bila menyedari dan menyaksikan bahawa "SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT!!!"

Ahad, 8 Mac 2009

Persaudaraan sesama manusia

Mewujudkan persaudaraan atau dalam bahasa agama disebut silaturrahim`yang membawa maksud saling memberi kasih-sayang atau saling cinta, adalah kewajipan setiap umat beragama.Istilah ini kebiasaannya lebih cenderung digunapakai dalam hubungan keluarga,maupun kelompok. Namun ianya juga boleh diperluaskan dalam bingkai kemanusiaan. Dasar silaturrahim adalah persaudaraan(ukhuwah), Yang biasanya dirujuk dalam konteks persaudaraan sesama orang beriman (ukhuwah islamiyyah) ataupun merentang kepada persaudaraan sesama manusia(ukhuwah insaniyyah/ukhuwah basyariyyah.

Manakala diamati isi kandungan Ayat Alquran surah al-Hujurat (10-12)ianya jelas menggambarkan segi prinsip dan teknik pelaksanaan persaudaraan ini. Surah ini juga menggambarkan bahawa persaudaraan diantara orang-orang yang beriman secara teologinya adalah merupakan idaman terbesar umat islam. Tetapi makna surah tersebut hanya akan dicapai jika etika pergaulan antara manusia diwujudkan dengan tidak saling punya perasaan prejudis sesama sendiri.

Sekiranya difahami ajaran-ajaran islam secara komprehensif, makanya dapat dimengertikan bahawa islam mengajar sikap dan perilaku bagi mencipta kedamaian dalam seluruh kehidupan manusia.Islam amat melarang segala bentuk tindakkan kekerasan yang mampu menjurus kepada kerosakkan, baik sesama manusia mahupun kepada alam.

Manusia memiliki adat,tradisi serta budaya yang berbeda adalah kerana dikurniakan anugerah besar yang bernama akal budi. Dengan akal budi inilah manusia mempunyai kepelbagaian kretiviti.Pada dasarnya, kebudayaan tersebut lahir dari tindakbalas sesebuah kelompok masyarakat diantara zaman dan alam sekitarnya.

Oleh itu, setiap individu perlu memberikan penghargaan kepada kepelbagaian budaya itu dengan cara mengenalinya.Dengan itu,maka akan terbukalah kemungkinan untuk melakukan perpaduan dan kerjasama utuh,sehingga dapat membina budaya baru yang lebih baik serta berfungsi bagi menyelesaikan permasalahan-permasalahan kemanusiaan.

Malaysia merupakan sebuah Negara yang sangat kaya dengan kebudayaan disebabkan punya sebuah masyarakat berbilang kaum.Dengan mempunyai masyarakat yang berbilang kaum serta kefahaman agama dan budaya,sudah tentu ianya tidak dapat lari dari lahirnya perbedaan pendapat didalam sesuatu hal.

Namun demikian, sekiranya segala perbedaan-perbedaan ini tidak dilihat dari sudut yang positif, ia berpontensi melahirkan sebuah situasi yang akan menjurus kepada konflik dan kekerasan.Justeru sikap saling menghargai dan menghormati antara semua kaum serta memahami bahawa perbedaan pendapat merupakan suatu hukum alam ( sunnatullah) yang tidak dapat dihindari adalah kunci kepada kedamaian dan keamanan.

Kerana itulah, sebenarnya tidak ada alasan sama sekali untuk mengunakan perbedaan-perbedaan yang ada dalam masyarakat sebagai dasar untuk melakukan tindakkan agresif terhadap kaum minoriti.Bahkan islam memberi ruang yang luas kepada setiap kelompok minority dalam mempertahankan hak dari dirampas oleh kelompok majority- yang memiliki kecenderungan untuk mendominasi dan menindas. Islam memandang setiap individu manusia itu adalah sama, Tidak ada samada individu ataupun suatu kelompokpun yang memiliki hak untuk melakukan penindasan keatas individu ataupun kelompok yang lain.

Dalam konteks sebuah Negara bangsa yang besar, Keragaman cultural yang disebabkan oleh kepelbagaian kaum, sekiranya timbul perbedaan pendapat ianya harus ditangani dengan berhikmah agar tidak terjerumus kelembah konflik perpecahan yang serius.

Sebuah Negara bangsa yang besar dan kuat akan menjadi tersangat lemah serta terasing dari tata pergaulan dunia luar dek kerana perpecahan kaum.Namun, jika perbedaan tersebut mampu ditangani dengan baik melalui prinsip persaudaraan sesama manusia serta memahami antara satu sama lain, maka setiap perbedaan pendapat yang timbul akan menjadi kelebihan yang bersifat unik dan juga akan menjadi suatu kekayaan tersendiri negara tersebut.

Salah satu cara yang dapat membantu membina penyatuan bangsa serta memperkukuhkan semangat persaudaraan sesama manusia adalah keterbukaan mengadakan dialog. Oleh yang demikian,Setiap kaum akan lebih mengenali dan memahami akan keperluan antara satu sama lain.Keterbukaan dialog juga akan menghindarkan sikap prejudis yang menebal dalam setiap sanubari masing-masing. Dengan mengenal dan memahami, maka dengan mudah segala bentuk kecurigaan dapat dibendung dan dihapuskan.

Jika tiada lagi kecurigaan, yang akan tinggal dalam pergaulan kesemua manusia adalah harmoni dan kerjasama. Harmoni dan kerjasama akan lebih memungkinkan sebuah negara-bangsa menjadi lebih kuat, sehingga menjadi lebih ramai warganya.

Selain itu, pentradisian dialog keterbukaan di antara kelompok kaum yang berbeda akan lebih memungkinkan persaudaraan dalam berbagai konteks, baik persaudaraan dalam konteks sama-sama sebagai pemeluk agama yang sama, persaudaraan sebagai warga negara-bangsa yang sama, maupun persaudaraan sebagai sesama makhluk yang bernama manusia. Kekuatan persaudaraan dalam berbagai konteks inilah yang akan dapat menghindarkan berbagai bentuk konflik dalam masyarakat.

Sabtu, 7 Mac 2009

FASAL DALAM PERLEMBAGAAN UMNO!!

3.5-MENJAMIN KEDUDUKAN BAHASA KEBANGSAAN (BAHASA MELAYU) SEBAGAI BAHASA RASMI YANG TUNGGAL DAN KEBUDAYAAN KEBANGSAAN YANG BERTERASKAN KEBUDAYAAN MELAYU????

Benarkah begitu?

respon bekas Setiausaha Parlimen (Zainudin maidin) pada waktu itu yang bermatian mempertahankan perlaksanaan pengajaran Bahasa Inggeris dalam Sains & Matematik.

Hujah beliau:
(i) Rakyat Malaysia tidak berkeupayaan untuk mengejar kepantasan perkembangan bahasa dalam sains & teknologi(ii) Rakyat Malaysia bermasalah untuk menimba ilmu S&T dalam Bahasa Melayu kerana DBP gagal dan tidak berupaya untuk menterjemah setiap buku yang terbit di Amerika dan Jepun

Jika benar tidak berkeupayaan, untuk apa ditubuhkan DBP seawal tahun 1960-an? Ungku Abdul Aziz, Prof Shahrir Md Zain, Prof Emeritus Nik Safiah Karim bermati-matian menyanggah hujah kerajaan untuk melaksanakan dasar ini, tetapi pandangan intelektual tak bisa melangkaui kehendak politikus.

Kini apa yang jadi?

Dianggarkan, peratusan yang lulus dana subjek sains dan matematik begitu lemah.Peratusan lulus dalam peperiksaan PMR, SPM memang baik, tetapi maklumat tidak rasmi yang saya perolehi, hanya 5% sahaja daripada kalangan pelajar yang menjawab menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa jawapan, selebihnya masih menggunakan Bahasa Melayu memandangkan masih ada konsep jawapan pilihan antara dwi-bahasa - Bahasa Melayu & Inggeris.

Sekarang lihat, betapa sukarnya, bukan sahaja pelajar malahan guru sendiri sebagai ‘enjin’ kepada perlaksanaan dasar ini. Pada hemat saya, dasar ini telah gagal sebelum ia dilaksanakan lagi, cuma kini selepas hampir 5 tahun perlaksanaannya, kegagalan itu kian terserlah sehingga membawa kepada satu usul dalam Perhimpunan Agung Umno baru - baru ini agar ada pertimbangan kerajaan untuk mengembalikan sains dan matematik dalam Bahasa Melayu.

Hujah kedua Zam, ialah DBP gagal untuk menterjemahkan setiap buku yang keluar daripada Jepun dan Amerika. Saya fikir, Zam patut membaca akhbar Siasah 3 keluaran yang lepas yang mengungkap permasalahan Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNM), yang kini hanya menjadi gajah putih.

Jumaat, 6 Mac 2009

ANWAR IBRAHIM; DISEBALIK TIRAI BESI

(Sebelum)



Baru-baru ini aku berkesempatan ketemu dengan seorang rakan yang bertugas selaku wartawan akhbar tempatan. Beliau menunjukkan aku salinan kenyataan media yang dibuat oleh Anwar Ibrahim-berkenaan siasatan kes mata lebamnya yang terjadi sekitar 98.

Sememangnya aku amat kepingin sekali untuk mengetahui situasi sebenar yang dilalui oleh Anwar pada malam gelita tersebut. Ikutkan hati kecil, ingin sahaja aku bertanya kepada Anwar sendiri.Malangnya aku hanyalah orang biasa, hendak dekat pun payah apatah lagi nak bertanya. Oleh itu, kesempatan melihat salinan laporan tersebut merupakan suatu peluang yang amat aku nantikan.

Sebaik menatap laporan tersebut, aku tergamam seketika....agak sukar untuk aku membayangkan apa lagi menerima kenyataan itu. Ini kerana didalam laporan itu ada dikepilkan salinan laporan polis yang dibuat oleh Anwar..dan didalamnya menceritakan kisah bagaimana beliau dilanyak setengah mati.

Berikut adalah kenyataan Anwar Ibrahim ,sewaktu mula ditahan pada malam dimana beliau diperlakukan seperti binatang:-


"Pada malam itu, saya dibawa kesebuah bilik dan seterusnya mata saya diikat menggunakan tuala kecil, manakala tangan digari kebelakang.

Dengan tak semena-mena seseorang telah meluru masuk kedalam bilik tersebut, lalu terus menumbuk saya bertubi-tubi. Saat itu saya menjerit dengan menanyakan mengapa saya dipukul? Akibat dari henyakkan tersebut, saya jatuh dan terus tidak sedarkan diri.

Pada keesokkan hari, saya mula sedar dan merasakan kesakitan yang amat sangat.Makanya saya merayu untuk diberikan rawatan."

( sebaik ditahan)


Demikianlah serba sedikit laporan yang sempat aku baca, bayangkan Anwar yang baru 2 minggu dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri boleh dilanyak sedemikian rupa. Sewaktu kejadian tersebut, Anwar berusia 52 tahun. Implikasi dari penyeksaan malam itu, telah membuatkan Anwar menanggung derita bilamana terpaksa berkerusi roda selama 6 tahun. Aku tidak dapat membayangkan, sekiranya peristiwa itu terjadi pada masa sekarang dimana usianya telahpun mencecah 63 tahun....

Oleh yang demikian,ketika ini Anwar telah menfailkan kembali kes tersebut bagi menuntut keadilan keatas dirinya.Persoalannya, Apakah Anwar Ibrahim akan mendapat keadilan tersebut??? sama-samalah kita lihat kesudahannya nanti...

gelanggang politik semakin rancak

Kebelakangan ini situasi politik dalam negara cukup menyesakkan, bermula tarikh 8 mac 2008 dimana ia digelar tsunami politik, sehingga kini masih belum terdapat tanda-tanda ianya akan reda.Malah adakalanya ombak tsunami tersebut dilihat semakin menggila menghempaskan badainya keatas lapangan politik negara.

Peristiwa rampasan kuasa diPerak yang mana membawa kepada satu persidangan dibawah pokok baru-baru ini, telah membuatkan Malaysia semakin menjadi tumpuan dunia. Ia juga turut memperlihatkan seolah "Demokrasi" diMalaysia sedang menuju kehancuran. Agak sukar sekali bagi mereka yang punya fikiran waras...mahu menafsirkan tindakkan mengunci Dewan dari dimasuki ahli Dewan itu sendiri.Bahkan fikiran akan semakin bercelaru bilamana melihat ketika ini Setiausaha Dewan lebih berkuasa dari ketua dewan yakni Speaker dewan rakyat.

Namun demikian, disaat kita bingung dengan peristiwa DiPerak, timbul satu laporan akbar dari Perancis yang mana mula membicarakan "mengapa dan bagaimana Altantuya dibunuh?". Aku yakin dan percaya, semestinya akan ada laporan balas dari media tempatan yang ditunggang penguasa. Mereka pasti akan mengatakan bahawa ini satu lagi cubaan mencampuri hal dalaman negara oleh negara asing, walaupun mereka tahu bahawa kes tersebut juga membabitkan sebuah negara asing.

Dalam pada masa yang sama, ketika ini sudah mula kedengaran suara-suara mengatakan Pak Lah tidak akan meletak jawatan sepertimana yang telah dirancang sebelum ini. Walaupun Pak Lah menafikan khabar angin tersebut, Tetapi terlihat jelas akan kebenarannya bilamana beliau mula melantik seorang penasihat agama yang baru. Bukankah Pak Lah hanya punya tempoh beberapa minggu lagi untuk keluar dengan rasminya dari mahligai Sri Perdana? Lalu mengapa masih mahu melantik penasihat baru?

Demikianlah peristiwa-peristiwa yang sedang rancak dipamerkan kepada rakyat, apapun ianya sedikit sebanyak telah membuatkan rakyat semakin membaca hak mereka yang terkandung didalam "Perlembagaan Negara". Disana-sini samada digerai mahupun warung... kedengara sudah ramai yang mula membicarakan situasi semasa.Adakalanya telahan serta kupasan yang dibuat lebih bijak serta mampu membuatkan dahi kita berkerut. Tambahan pula kupasan serta telahan tersebut, bukannya dari seseorang yang bergelar Profesor....tetapi ianya datang dari seorang tukang kebun, juruwang dipasar raya serta penyelia kilang cermin. Pendapat mereka ini jauh lebih baik dari mereka yang bertaraf Profesor (kangkung).

Saat ini, aku semakin tidak sabar ingin menanti babak seterusnya...